Popular Posts

Thursday, January 13, 2011

masalah baran



KEMARAHAN adalah emosi semula jadi manusia untuk menangkis persepsi, ancaman atau serangan terhadap diri. Ia juga adalah sebagai refleksi pertahanan seseorang terhadap sesuatu prinsip yang diyakininya.
Namun, masalah sering terjadi apabila kemarahan itu disalah urus dan lebih teruk sekiranya ia kekal menjadi tabiat yang dilabelkan sebagai ciri peribadinya.

Sikap baran boleh menjadi penyebab utama berlakunya konflik dalam kehidupan peribadi dan perhubungan profesional.
Tidak hairanlah hari ini, kemarahan yang melampau itu sering dizahirkan dalam perbuatan seperti keganasan domestik, sikap buruk di jalan raya, konfrontasi di pejabat hinggalah kepada perlakuan yang menjejaskan ikatan suami isteri.

Dalam soal cinta, adakah anda seorang yang berjaya mengawal emosi? Bagi setiap perselisihan pendapat yang berlaku, adakah penyelesaian akan diiringi dengan cara mengherdik atau menengking? Mungkin lebih dahsyat, bagi yang tidak dapat mengawal perasaan, kemarahan itu disertai dengan keganasan fizikal.

Sebagai langkah menghadapi situasi seperti itu, adalah disyorkan agar seseorang itu meningkatkan paras kesabarannya. Selain berfikir secara rasional, berikan peluang untuk komunikasi dua hala berlangsung.
Apabila seseorang sedang bercakap, seorang lagi perlu mendengar. Peluang untuk memberi penjelasan hendaklah diberi secara saksama. Berikut adalah antara tip untuk membimbing mereka yang mempunyai pasangan yang panas baran.

Berdiam diri
Api tidak boleh dilawan dengan api. Maka, apabila salah seorang sedang dalam keadaan marah, hendaklah pasangannya berdiam diri dan cuba mendengar butir bicara itu sebagai input penyelesaian. Setelah habis kemarahan itu dilepaskan, berikannya 'masa tambahan' untuk meredakan perasaan. Tunggu sehingga waktu yang sesuai untuk berkata-kata.

Menjauhkan diri buat seketika
Dalam tempoh yang diberikan kepada orang yang panas baran untuk meredakan kemarahannya, jangan cuba melakukan sesuatu yang mengganggu ruang privasinya.
Ini termasuklah gangguan keselesaan persekitaran dari aspek bunyi, ruang dan pandangan. Orang yang panas baran sentiasa akan mencari sebab untuk menyalahkan orang lain jika sesuatu faktor itu diterjemah sebagai masalah buatnya.

Berikan masa untuk reda
Orang yang panas baran lazimnya akan malu sendiri akan perbuatannya. Waktu yang diberikan kepadanya tanpa diganggu akan membuatkan si baran itu memikirkan semula apa yang telah dilakukannya.
Sama ada kemarahan itu kerana dia di pihak yang benar ataupun tidak, dia akan kembali kepada pasangannya untuk sesi penyelesaian yang lebih terhormat.

Memilih corak percakapan
Berhati-hati dengan pemilihan perkataan anda. Jika anda tersilap menuturkan sesuatu, lebih-lebih lagi ketika kemarahannya belum reda, ia boleh memburukkan lagi keadaan.
Keras lawannya lembut. Maka, lenggok bahasa yang santun boleh memujuk hati pasangan yang baran. Meskipun berlembut, itu tidak bermakna prinsip dan kebenaran tidak boleh disampaikan secara efektif.

Terapi minda dan fizikal
Kaedah bertenang yang paling ringkas dan mudah adalah dengan mengambil nafas panjang dan dalam. Bayangan visual yang menenangkan dari dalam ingatan atau imaginasi juga boleh membantu meredakan rasa marah. Banyak buku dan majalah yang boleh membimbing seseorang yang sedang marah atau bagi mereka yang menghadapi orang yang sedang marah.

Bagi mereka yang mengakui memiliki tabiat pemarah, boleh mencuba teknik ini. Tarik nafas panjang dan bayangkan udara memenuhi diafragma. Kemudian lepaskannya semula dengan perlahan dan pujuk diri secara psikologi dengan memikirkan perkataan seperti bertenang atau anggap mudah.
Bagi menambah kekuatan diri dalam menghadapi situasi tegang itu, seseorang boleh mencuba teknik regangan seperti dalam riadah yoga ataupun rutin ibadah sembahyang. Dalam berdepan dengan ujian perhubungan itu, kita masih perlu berharap dan berdoa

No comments:

Post a Comment